Laman Web Bahagian Kejuruteraan Cerun

 
 
 
 

Sejarah BKC

E-mel Cetak

Pembangunan pesat Negara sejak lebih dua dekad yang lalu telah membawa kepada satu situasi di mana kawasan tanah pamah yang strategik dan sesuai untuk didiami, diusaha atau dimajukan semakin berkurangan. Ini menyebabkankawasan tanah tinggi dan pergunungan diterokai. Fenomena ini dijangka akan terus berlaku memandangkan Negara berhasrat mencapai tahap Negara maju dalam tempoh terdekat ini.

Pembangunan di kawasan tanah tinggi biasanya melibatkan kerja-kerja pemotongan dan tambakan cerun. Pembinaan cerun yang tidak menepati spesifikasi rekabentuk boleh menjurus kepada ketidakstabilan cerun. Selain itu, faktor-faktor semula jadi juga boleh menyumbang kepada ciri-ciri kegagalan cerun. Antara faktor semula jadi utama adalah seperti keadaan geologi, sifat tanah yang kompleks, keamatan hujan dan juga perubahan iklim global seperti La Nina.

Selain faktor semula jadi seperti dinyatakan di atas, faktor manusia seperti kaedah pembinaan yang 'sub-standard' juga boleh menyumbang kepada ketidak-stabilan cerun. Perkara ini dapat diatasi sekiranya garispanduan dan spesifikasi yang menyeluruh bagi kerja-kerja pembinaan dan penyelenggaraan cerun diwujudkan yang berasaskan dari penyelidikan dan pengalaman tempatan.

Sejak akhir-akhir ini, kebanyakan kejadian keruntuhan cerun telah melibatkan kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda disamping mendatangkan kesan negatif kepada sosio ekonomi negara. Sebagai contoh, kejadian tanah runtuh yang berlaku di Cameron Highlands pada satu ketika dahulu telah melibatkan kerugian berjuta-juta ringgit kepada pengusaha-pengusaha kebun sayur yang tidak dapat mengeluarkan pertanian disebabkan terputusnya perhubungan jalan raya. Satu lagi contoh adalah kejadian kegagalan cerun di Genting Sempah yang mana telah melibatkan kehilangan nyawa dan kerugian harta benda- Kejadian ini mungkin dapat dielakkan sekiranya sistem amaran awal yang mantap disediakan di kawasan tersebut yang mana dapat membantu pihak berkuasa membuat keputusan menutup laluan tersebut sebelum kejadian tanah runtuh berlaku.

Punca Kuasa

Keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri (Kabinet) bertarikh 17 September 2003 bertajuk Program dan Peruntukan Bagi Menangani Masalah cerun Runtuh yang mana Kabinet bersetuju dengan cadangan untuk mewujudkan Cawangan Kejuruteraan Cerun di JKR diteliti secara berasingan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan.

Peranan Utama

Cawangan ini juga telah dilantik sebagai pusat agensi utama (lead agency) kepada Jawatankuasa Utama Bencana Negara yang berkaitan dengan kegagalan cerun. Bagi memastikan perkara ini dapat dijalankan dengan sempurna, Garispanduan bagi Pembangunan di Kawasan Tanah Tinggi telah diwujudkan bagi menjamin pembangunan di kawasan tanah tinggi selamat dan terkawal. Dalam hal ini pematuhan kepada garispanduan ini adalah amat penting sekiranya objektif bagi mengurangkan masalah keruntuhan cerun ingin dicapai.

Di samping itu, apabila kejadian tanah runtuh berlaku, JKR memerlukan satu cawangan yang bertanggungjawab menyiasat dan mengemukakan laporan kejadian serta cadangan mengatasi mengelakkan kejadian tanah runtuh berulang. Pada masa ini apabila berlaku kejadian tanah runtuh yang melibatkan kehilangan nyawa, Cawangan Kejuruteraan Cerun adalah wakil JKR sebagai Urusetia Jawatankuasa Kejadian Tanah runtuh. Pihak Y.B Menteri tidak lama dahulu juga menyarankan kepada orang ramai supaya melaporkan kepada Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR apabila menemui tanda-tanda tanah runtuh di kawasan mereka.